Wednesday, November 11, 2009

TAKZIAH

Takziah kepada YB Dato Kamarudin Jaafar di atas pulangnya ke rahmatullah isteri tercinta. Datin mengidap kanser sejak sekian lama. Saya mengenali Allahyarham Datin Kamariah ketika terlibat dalam majlis perkahwinan anakandanya beberapa bulan lalu.

Alfatihah.

Tuesday, November 10, 2009

Menyeru dengan lisan yang indah

Ahad lepas saya hadir ke Majlis Makan Malam sempena ulangtahun ke 10 Jabatan IT PAS Pusat yang telah disempurnakan oleh Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Saya dapati ucapan Tuan Guru pada malam itu sungguh bermakna, membawa mesej yang sangat mendalam kepada perjuangan khasnya bagi mereka yang memilih untuk berdakwah dan berjuang melalui ICT. Ucapan beliau disampaikan secara spontan namun ternyata kaya dan penuh ilmu bagi mereka yang menghargainya.

Ayat al Quran yang beliau pilih untuk mukadimmah ucapannya adalah:

Firman Allah SWT, “Dan siapakah lagi yang lebih indah cakapnya termasuklah lisannya daripada orang yang menyeru kepada agama Allah juga beramal dengan amalan yang soleh seraya menegaskan sesungguhnya saya termasuk dikalangan orang-orang menyedari Islam adalah sebenarnya.”

Antara petikan ucapannya yang saya rasa telah memberi kesna mendalam kepada diri saya sendiri dan mudah-mudahan sahabat yang lain adalah seperti berikut:


“Sesungguhnya, penyampaian melalui tulisan yang dicatit lebih berpanjangan dari ucapan yang diungkapkan. Maka, peranan ICT dalam menegakkan Islam sangat besar.

Terutamanya, teknologi maklumat menjadikan dunia yang lebih luas ini seolah perkampungan yang sempit.
Maklumat disebarkan dengan mudah, dicapai dengan mudah, maka kita juga menjadi sasaran.
Bukan sahaja kita menunaikan tanggungjawab menerang, tapi kita juga diserang. Disini, kita memerlukan kebijaksanaan dalam menangani keadaan semasa.
Kita diwajibkan untuk menggunakan uslub menerang lebih banyak daripada menyerang kerana matlamat kita adalah untuk menyelamatkan manusia.

Bukan untuk menuduh dan menghukum orang walaupun kita boleh menuduh dan menghukum orang itu.

Sekiranya menuduh dan menghukum itu membawa fitnah maka dosanya adalah besar. Sila buka kitab Riyaadus Solihin. Terjemahannya ada dalam bahasa kita. Imam Nawawi menyebut satu hadith dimana Rasulullah SAW diwahyukan melalui mimpi. Mimpi seorang Rasul adalah benar dan wahyu daripada Allah.

Rasulullah SAW melawat neraka dan dilihat mereka yang diseksa dalam neraka itu, orang yang berzina dan memakan riba’ dan menyebarkan maklumat yang buruk sehingga perbohongan itu tersebar dengan luas, apatah lagi maklumat itu menjadi fitnah.
Dilihat seorang yang disangkut dengan penyangkut besi didagunya menembusi pipi dan mata diseksa didalam neraka, bila ditanya siapa itu, itulah penyebar maklumat bohong diseluruh pelusuk.

Disini, memberi peringatan kepada kita betapa kita perlu berhati-hati, apatah lagi kita adalah parti Islam yang menjadi model dan dilihat oleh orang lain.

Kesalahan satu titik dianggap kubah yg besar. Kesalahan yang kecil dibesarkan laksana bukit yang kukuh. Apa yang betul ditutup dan kita perlu bersabar dalam melaksanakan tugas.

Terpulanglah kepada kita masing-masing untuk menerima saranan dan pengajaran dari beliau. Namun saya yakin sebagai anggota jemaah yang bertanggungjawab, insyallah kita mudah menerima dan mempraktikkan saranan itu. Sahabat saya al Maniri di dalam blognya “Kalam Perantau” ada menyedut keseluruhan teks ucapan Tuan Guru itu. Sila ikuti di:

http://kalamperantau.wordpress.com/2009/11/10/menyebar-maklumat-bohong-ke-neraka/

Syabas para petugas dan pimpinan JIT PAS Pusat.

Saturday, November 07, 2009

PAS kekal bersatu

Ternyata Seminar Khas Memperkasakan Parti anjuran PAS Pusat siang tadi telah menjadi tumpuan umum. Banyak ulasan dan spekulasi dibuat. Ia telah menghangatkan suasana yang sebelum ini tenang dalam parti. Apapun kehadiran penuh sesak para perwakilan di Dewan Dato Fadzil Nor sejak awal pagi membuktikan yang ahli-ahli dan pimpinan PAS lebih terpanggil untuk mendapatkan penjelasan dan prihatin tentang masa depan parti.

Saya hadir sekitar jam 8.30 pagi dan suasana sudah sesak walaupun program dijadualkan bermula jam 9.30 pagi.

Apabila para pimpinan masuk ke dewan ternyata melihat dua pemimpin tertinggi parti Tok Guru Mursyidul Am dan Tok Guru Presiden duduk mesra berbual dan berbisik-bisik menyejukkan hati saya dan saya yakin begitu juga yang lain yang hadir, ikhlas mahu melihat parti ini terus bertahan, pimpinan dan prinsipnya.

Saya tidak berhajat mengulas apa yang dibahas dan dibincangkan (kerana diperingkat ini pasti ia telah tersebar luas) tetapi secara amnya majlis berlangsung dalam suasana yang sungguh matang dan tertib, walaupun ada yang memilih meninggi suara.

Ayat muqadimmah yang digunakan oleh Presiden dalam ucap uatamanya, surah al Maidah ayat ke 54-56 ternyata memberi kesan besar kepada semua yang hadir. Ayat yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa yang menyeleweng dikalangan kamu dari ugamanya (Islam), niscaya Allah akan mendatangkan suatu golongan dimana Allah mengasihani mereka dan mereka juga mengasihi Allah; mereka bersifat merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kemuliaan (kehebatan) terhadap orang-orang yang menentang Islam, mereka berjihad pada jalan menegakkan agama Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itu adalah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Ia menghendaki; dan Allah itu maha luas kurniaNya, lagi maha mengetahui.

Sesungguhnya yang menjadi wali kamu ialah Allah, Rasul Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka sentiasa (patuh) kepada Allah.

Dan sesiapa yang berwalikan Allah dan Rasul Nya serta orang-orang yang beriman (yang begitu sifat-sifatnya) maka sesungguhnya golongan (parti) yang menegakkan agama Allah itu akan mendapat kemenangan.”

Ayat ini biasa diulang-ulang dalam majlis PAS, tetapi mengucapkannya pada hari ini ternyata memberi kesan kepada semua yang hadir, yang faham maksud dan rohnya. Bagi saya ayat ini telah menyelamatkan suasana dan menjayakan majlis ini keseluruhannya.

Yang pentingnya seminar pada hari ini menandakan bahawa PAS akan terus berperanan dalam masyarakat dan persada politik negara. Saf kepimpinan dan ahlinya akan kekal bersatu. Malah akan lebih bertenaga lagi. PAS terbit kuat dari seminar ini, insyallah. Berikut adalah petikan ucapan penggulungan Presiden:

“Pemimpin dipilih melalui muktamar parti, pemimpin adalah amanah.

Saya tidak akan membuang baju amanah ini... insyaAllah kita akan mengharungi gelombang perjuangan ini,

Kita ibarat orang-orang yang ada di medan (padang bola), yang lain daripada kita adalah penonton dan pengulas.

Walaupun ada teguran yang keras, suruh pecat kapten, buang pengurus, buang pemain, kita belum lagi habis separuh masa pertama.

Kita adalah kalangan profesional dalam bidang ini, bukan pemain-pemain kampung,"

Allahuakbar!

Thursday, November 05, 2009

Buka jalan untuk otonomi Selatan Thai

Wilayah Patani, Narathiwat dan Yala di Selatan Thai tidak selesai dirundung malang. Bumi yang punya talian rapat dengan negeri-negeri sempadan khasnya Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan itu terperangkap dalam konflik bersama kerajaan Pusatnya sejak zaman berzaman.

Budaya Melayu dan agama Islam mencorakkan penghidupan di wilayah ini, lantaran itu ia sering bertembung sehingga mengorbankan ribuan nyawa angkara perselisihan dengan kerajaan Pusat yang berbeza budaya dan agama itu.

Berbagai badan dan gerakan pembebasan muncul untuk memperjuangkan hak rakyat di sana dan antara yang tersohor adalah PULO atau Patanni United Liberation Organaisation yang telah bergerak sekian lama di sana.

Kita di sebelah sini sesungguhnya tidak sanggup melihat konflik sehingga menumpahkan darah dan mengorbankan nyawa itu. Jikaboleh biar tiada lagi sengketa, biar tiada lagi yang terkorban, biar rakyat di kedua-dua belah negara sempadan dapat hidup aman dan damai.

Dizaman Dr Mahathir dahulu pernah pemimpin gerakan pembebasan Thai diberkas di wilayah kita dan diserahkan kepada Tentera Thai, entah apa nasib beliau.

Lantas dewasa ini demi mengembalikan keamanan dan membawa kesejahteraan buat semua, biarlah kita berusaha membawa penyelesaian di wilayah berkonflik itu. Kalau kerajaan Thai boleh memberikan sekurang-kurangnya otonomi kepada ketiga-tiga wilayah berkenaan, sekurang-kurangnya masing-masing boleh memain peranan dalam membina dan memajukan wilayah masing-masing dan bergerak bebas dalam aman dan mengamalkan agama masing-masing tanpa tekanan.

Bolehkah ini berlaku?

Pemimpin dikedua-dua buah negara perlulah bersama mencari jalan penyelesaian. Libatkan juga negeri-negeri sempadan sini termasuklah MB-MB Perlis,Kedah, Perak dan Kelantan.

Menurut berita terkini Timbalan PM Thai yang juga memegang portfolio keselamatan enggan melayan cadangan pihak PULO agar pihak ketiga khasnya Malaysia dilibatkan dalam menjadi orang tengah, membawa keamanan kepada wilayah ini.

Marilah kita doakan agar perdamain dapat dirasakan diwilayah bergolak ini. Semua pihak perlu main peranan, ini konflik yang paling dengan kita, jangan biarkan bumi itu terus berdarah.

Friday, October 30, 2009

Selamat jalan Badrul……..

Isu ADUN Pelabuhan Kelang, Badrul HishamAbdullah lompat keluar dari PKR menjadi Bebas, mendapat liputan meluas akhbar-akhbar tempatan hari ini. Namun ia sesuatu yang tidak pula mengejutkan Pakatan Rakyat Selangor. Kebetulan sebelum itu Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menasihatkan beliau agar mengosongkan kerusinya kerana telah gagal memberikan khidmat kepada para pengundi di sana.

Memang Badrul sejak Mac 2008 lalu merupakan masalah besar kepada Pakatan Rakyat Selangor terutama pimpinan di Kelang. Rakan-rakan dari PAS kawasan sering mengadu sukar mendapatkannya dan gerak-kerja khidmat masyarakat terpaksa dilakukan sendiri tanpa sedikit pun kelibat atau bantuan beliau.

Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN berhampiran serta ahli-ahli majlislah yang terpaksa turun memberikan khidmat dan bantuan kepada rakyat, Badrul goyang kaki dan lesap entah ke mana. Kerana itu biarlah beliau pergi tidak rugi mana pun PR.

Cuma solanya, beliau perlu bertanggungjawab, kalau dah kepercayaan diberikan oleh rakyat atas nama gagasan PR melalui PKR, Badrul sepatutnya mengosongkan kerusinya dan biarkan rakyat kembali membuat keputusan baru. Rakyat bukan undi batang tubuh beliau tetapi parti yang diyakini dan dipercayai.

Sementara itu rakan-rakan diperingkat Kelang perlulah bekerja keras dan jangan biarkan rakyat hilang keyakinan terhadap PR angkara tindakan Badrul. Kalau dalam PR pun beliau merupakan beban, nah biarlah BN pula pikul biawak hidup ini.

Saya mencadangkan pentadbiran DUN pelabuhan Kelang diambil-alih terus oleh Pejabat Menteri Besar. Biar para petugas lapor terus pada MB, sekurang-kurangnya pengundi Pelabuhan Kelang tahu mereka diberi perhatian. Selamat jalan Badrul!

Thursday, October 29, 2009

Petunjuk baik buat PR Selangor

Awal pagi tadi saya sempat bertemu dengan YB Iskandar Abd Samad Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor di kediaman Dato Dr Hasan Ali. Memanglah isu Mesyuarat Khas PAS Pusat semalam hangat, tetapi biarlah kita semua menghormati keputusannya. Yang melibatkan PAS Selangor, bahawa satu siasatan akan dilakukan oleh Lembaga Disiplin parti.

Ini suatu keputusan yang baik. Biar disiasat dan diselongkar segala-galanya. Yang menuduh dan dituduh perlu disiasat. Yang bersalah perlu dihukum. Saya yakin semua pihak akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam hal ini.

Biarlah yang diamanahkan menjalankan tugasnya.

Berbalik kepada pertemuan dengan YB Iskandar, beliau menyatakan bahawa sebuah kajian (terbaru) telah mendapati bahawa keyakinan rakyat Selangor terhadap Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat semakin meningkat. Beliau nukilkan dalam blognya “Direct Free Kick” di http://iskandar56100.blogspot.com/






Lebih-lebih lagi hasil bancian yang dilakukan oleh sebuah syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Negeri menunjukkan keyakinan rakyat di Selangor terhadap Kerajaan Negeri semakin meningkat. Walaupun di kalangan orang Melayu yang kononnya menurut UMNO masih tetap menyokong mereka. Yang paling penting pula keyakinan rakyat Selangor terhadap PM Najib telah menurun. Ianya tinggi apabila Satu Malaysia dilancarkan tetapi selepas itu menurun.

Walaupun apa yang dikatakan oleh suratkhabar, UMNO di Selangor tidaklah sekukuh mana. Orang di luar Selangor mungkin tidak Nampak. Kerajaan Pakatan Selangor kukuh. Banyak kemajuan telah dicapai sama ada dari hubungan di antara Kerajaan dan rakyat atau di antara anggota-anggota Kerajaan sendiri. Kalau ada "hiccup", itu perkara biasa. Jangan sebab pijat kelambu dibakar.


Ini suatu perkembangan yang baik buat Pakatan Rakyat Selangor khasnya PKR,DAP dan PAS Selangor. Saya percaya kerja kuat semua pihak selama ini dari MB, ahli-ahli EXCO, ADUN-ADUN, ahli-ahli majlis PBT, ketua-ketua kampong dan JKKK serta Nazir dan AJK Masjid, selain para pegawai kerajaan membantu dalam melahirkan keyakinan ini.

Usaha politik merapatkan hubungan sesama komponan khasnya antara PAS dan PKR serta PAS dan DAP termasuklah sidang meja bulat PAS dan DAP Selangor baru-baru ini membuktikan bahawa pakatan ini mampu memikul amanah bersama dan memiliki kekuatan memimpin dan menyelematkan rakyat negeri ini.

Bayangkan orang-orang Melayu (selain Cina dan India) yang dikatakan tegar condongnya pada Umno juga telah beralih sokongan di Selangor, lantas menjanjikan masa depan yang baik buat Pakatan Rakyat Selangor.

Saya fikir rakyat Selangor sudah boleh menerima pakatan baru ini. Mereka sedar ianyan suatu gagasan politik yang baru dan mentah namun mereka sanggup mencuba dan semakin memberi keyakinan kerana ternyata ia terbukti lebi baik dari Barisan Nasional dahulu. Oleh itu marilah kita berikan tumpuan ke arah memantapkan kedudukan kerajaan ini. Selangor yang kuat dan padu akan nanti melonjakkan sokongan di negeri-negeri lain insyallah.

Wednesday, October 28, 2009

Kerja-kerja menangguk di air keruh

Saya dihubungi wartawan Sinar Harian semalam berhubung pertemuan antara bloggers dan Dato Dr Hasan Ali di kediaman beliau malam sebelumnya. Pada hari ini kenyataan saya itu terbit dalam akhbar yang sama.

Sebelumnya di alam maya macam-macamlah yang dilemparkan oleh para penulis dan pengkritik dan lain-lain. Ada kalangan rakan blogger yang hadir cuba memberi penjelasan,ada diantara yang tidak hadir terlebih sudu dari kuah memberi huraian seolah malaikat sudah tiada di kiri kanan mereka.

Tak mengapalah.

Pertemuan Dr Hasan dengan blogger itu anjuran Lajnah Penerangan PAS Selangor. Malah memang dalam perancangan untuk program “engagement” bukan sekadar dengan masyarakat blogger, malah kumpulan NGO, ketua-ketua agama bukan Islam, petani,nelayan, peniaga kecil semua dalam perancangan lajnah.

Bloggers pun kita berhasrat bertemu dengan semua bloggers tanpa mengira fahaman dan agama.

Tiba-tiba dikhabarkan pertemuan itu adalah untuk menegaskan bahawa kononnya PAS akan keluar dari Pakatan. Kononnya pertemuan itu untuk menerangkan darihal “Unity government” dan macam-macam lagi.

Saya dan rakan-rakan yang menganjurkan pertemuan itu. Kami berhajat menyediakan forum untuk PAS Selangor menjelaskan darihal dasar dan perjuangannya, rancangan kini dan masa depan serta memperkukuhkan komitmen PAS Selangor dalam kerajaan Pakatan Rakyat negeri.

Begitu juga jika kita berpeluang bertemu dengan kumpulan-kumpulan lain yang dimaksdukan.

Mengapa jemput blogger Umno?

Kalau ada blogger kominis pun saya mungkin terlepas pandang. Saya menjemput individu dan kumpulan atas sifat mereka sebagai seorang blogger bukan berdasarkan fahaman atau kepercayaan politik mereka. Memang saya menjemput kawan saya “Mahaguru 58” dan mohon bantuan beliau mengundang rakan-rakan dari kumpulan beliau “Muslim Bloggers Alliance”

Mengapa dibuat selang beberapa malam sebelum mesyuarat khas PAS Pusat?

Subhanallah, demi Allah tiada niat pun untuk mempengaruhi mesyuarat itu, malah diperingkat manakah pertemuan dengan blogger ini boleh mencorakkan keputusan mesyuarat itu yang dijadualkan malam ini? Yang pastinya fitnah yang berligar dari kalangan mereka yang tidak tahu hujung pangkallah yang cuba mengeruhkan suasana dan mempengaruhi mesyuarat.
Memang kalau dah kacamata hitam yang kita guna, benda yang putih bersih pun kelihatan hitam juga.

Diperingkat ini saya mahu memetik beberapa pidato Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad, mudah-mudahan boleh membawa ketenangan kepada jiwa-jiwa kita, kata beliau:

“Sekarang akhlak kita lembik, kebenaran kita ketepikan jika perut kita terancam dan kesucian kita korbankan jika kepentingan kita terlibat maka kita pun seperti sehelai bulu ayam yang halus yang dipermain-mainkan oleh angin nafsu dan keadaan hidup kita. Kita khianat bukan sahaja kepada orang lain tetapi juga kepada diri kita sendiri…….”

(Saya disifatkan oleh seorang tokoh kononnya sebagai ancaman yang kecil sahaja, kepala-kepala pengancam yang lebih besar akan dicantas…………..)

Kata Almarhum lagi (48 jam sebelum dipanggil oleh Allah swt)):

“Saya perlu memberitahu kepada saudara-saudara bahawa satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu turunan ialah KEIKHLASAN. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil,mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan yang ada pada kita maka ada harapan cita-cita kita akan dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat, sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”

Wallahualam.